AMALAN berpantang secara tradisional cukup sinonim dalam masyarakat Melayu yang sudah diamalkan sejak ratusan tahun lalu.
Ilmu warisan nenek moyang ini masih diamalkan sehingga kini sebagai amalan tradisi yang sudah sebati dalam kehidupan masyarakat.
Berpantang secara tradisional mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman, budaya dan kepercayaan.
Pakar Perunding Kanan Obstetriks dan Ginekologi Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, amalan berpantang tidak terhad kepada makanan, tetapi juga gaya hidup dan tingkah laku.
Menurutnya, ia tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh, tetapi ada di antaranya tak memudaratkan kesihatan apabila diamalkan.
“Terdapat juga amalan pantang yang mempunyai tujuan tersirat bagi mengelak keburukan lain. Ia lebih tertumpu kepada gaya hidup dan tingkah laku.
“Oleh kerana kebanyakan amalan berpantang berasal daripada pengalaman orang dahulu, pengamal perubatan moden berpandangan bahawa pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan bukti kukuh untuk mengaitkan satu sebab dan akibat,” katanya.
Kata Dr Mohd Rushdan, banyak keadaan masyarakat silap dalam mengaitkan sesuatu punca dengan akibat, tambahan pula setiap orang mempunyai keunikan tersendiri.
“Maka tidak hairanlah, mengapa terdapat banyak jenis pantang dan senarai makanan yang tidak boleh dimakan kerana ia dikumpul sejak sekian lama.
“Sains mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan kekuatan hubungan di antara punca dan akibat.
“Hubungan ini juga perlu selari dengan kefahaman yang betul mengenai bagaimana badan manusia berfungsi (fisiologi),” katanya.
Beliau berkata, amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan, sebenarnya juga wujud di dalam perubatan moden, tetapi dengan alasan berbeza.
Katanya, terdapat lima keadaan yang pengamal perubatan moden mengiktiraf amalan berpantang.
“Pertama, berpantang terhadap makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan. Contoh, makanan yang menghasilkan banyak gas sehingga perut kembung dan tidak selesa.
“Jenis makanan ini hanya diketahui individu berkenaan kerana kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza kepada setiap individu menyebabkan kuantiti gas dihasilkan selepas penguraian makanan turut berbeza.




